
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Pencipta sekalian alam. Selawat dan salam dititipkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan keluarga Baginda yang menjadi suri teladan dalam perjuangan kemanusiaan.
Saya percaya bahawa kekuatan sesebuah masyarakat terletak pada keupayaannya untuk memartabatkan pendidikan generasi akan datang. Oleh itu, pertubuhan ini komited untuk memastikan golongan asnaf dan mereka yang kurang bernasib baik tidak terpinggir dalam mendapat pendidikan yang berkualiti. Ini bukan sekadar membantu mereka dalam mencapai cita-cita, tetapi juga memberi mereka harapan untuk kehidupan yang lebih baik.
Slogan “Prihatin dan Amanah” menjadi prinsip asas kami dalam menjalankan semua gerakerja pertubuhan. Dengan penuh keprihatinan, semua anak-anak asnaf perlu dibantu dan setiap bantuan perlu kami uruskan dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab. Sehubungan ini saya menyeru agar kita bersama-sama menghulur sumbangan dalam apa jua bentuk, baik dalam bentuk tenaga, idea, mahupun kewangan agar impian kami menjadi sebuah organisasi yang berjaya membantu masyarakat tercapai.
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia”- Hadis Riwayat Ahmad.
Saya sekali lagi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah bersama-sama kami dalam menyantuni anak-anak asnaf. Setiap usaha yang dilakukan, walaupun kecil, adalah sebahagian daripada impian kami untuk memberi lebih banyak peluang kepada mereka yang kurang bernasib baik, khususnya dalam bidang pendidikan.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama berusaha mencipta dunia yang lebih adil dan penuh kasih sayang, dimana tiada seorang pun yang tercicir dalam mengejar impian mereka. Kita semua bertanggungjawab dalam membina masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak, masyarakat dan untuk negara tercinta. Semoga dengan sekelumit usaha ini dapat membebaskan mereka daripada kitaran kemiskinan antara generasi atau ‘cycle of intergenerational poverty’.
Sekian.
“PRIHATIN & AMANAH”
MUKHTAR BIN ZAKARIA Pengerusi